Ahad, 3 Jun 2018

PENGENALAN TENTANG SENI TARI MELAYU TRADISIONAL

PENGENALAN

1.     Apakah itu TARIAN ?

Tarian merupakan pergerakan anggota badan mengikut rentak muzik . Tarian boleh dilakukan secara bersendirian , berpasangan atau berkumpulan.

2.     Mengenali jenis – jenis tarian tradisional Melayu.

Tarian Asli
Tarian Asli merupakan kumpulan tarian yang dicipta berasaskan lagu – lagu asli Melayu.Wujud daripada rentak dan irama Dondang Sayang tetapi Tarian Asli tidak diiringi dengan adegan berbalas pantun seperti dalam DondangSayang.Perkembangan seterusnya ialah kemunculan tarian – tarian asli yang dicipta daripada lagu – lagu seperti lagu Makan Sireh, Gunung Banang, Asli Sapu Tangan,Asli Selendang, Bentan Telani, Asli Abadi dan lain-lain lagi.Tarian Asli boleh didapati seluruh Malaysia terutama Semenanjung Malaysia.

Tarian Inang 
Tarian Inang merupakan versi moden bagi tarian tradisional rakyat iaitu Tarian Mak Inang. Ia Sering dipersembahkan di majlis – majlis sosial.Tarian ini ditarikan mengikut laju tempo rebana,biola dan gendang. Semasa menari,para penari melambaikan sapu tangan yang berwarna warni. Inang memberi pengertian sebagai pengasuh. Tarian Inang memberi gambaran bagaimana lembut dan sopan santunnya seorang wanita pengasuh. Penari lelaki merupakan pasangan untuk menggambarkan keserasian dalam kehidupan keluarga atau masyarakat. Tempo pergerakan Tarian Inang yang sederhana ialah 2/4 diselangi dengan paluan gong.Inang juga boleh ditarikan dengan pantas iaitu 4/4 berdasarkan irama masri.Lengok tari inang yang biasa ditarikan ialah Inang Selendang, Ayam didik, Tari Payung, Tari Sapu Tangan, Tari Lilin dan lain-lain bergantung kepada peralatan yang diperagakan dalam tarian tersebut.

Tarian Zapin
Perkataan Zapin berasal dari kata al–zaffan, iaitu gerak kaki. Zapin berkembang dan menghasilkan dua pola lantai yang berbeza iaitu Zapin Arab yang pola gerakannya berbentuk zig-zag dan Zapin Melayu berbentuk huruf “alif “ ( lurus ) . Sejarah Zapin adalah berasal dari Yaman Selatan ( Hadramaut )merupakan sejenis irama atau rentak dalam seni muzik tradisional. Zapin juga adalah sejenis tarian rakyat orang Arab .Pada abad ke 13, tarian ini masuk ke pulauan Riau yang dibawa oleh pedagang – pedagang Arab. Sewaktu orang Arab datang ke kawasan Asia Tenggara, mereka turut membawa kebudayaan Arab termasuk seni muzik dan tarian. Ia menjadi terus tersebar pada abad ke 15 terutamanya oleh pendakwah – pendakwah Islam dari negara Arab dan Zapin Melayu telah menjadi lebih nyata sebagai satu permainan anak muda dan golongan tua di zaman kesultanan Melayu Johor Lama dan kesultanan Johor–Riau–Lingga terutamanya setelah Melaka jatuh ke tangan Portugis 1511.

Tarian Joget
Tarian Joget merupakan sejenis tarian Melayu tradisional . Tarian ini dipengaruhi oleh Kebudayaan Portugis iaitu Branyo, satu cabang daripada tarian Coridinho. Joget telah dijadikan sebagai tarian sosial serta diterima oleh berbagai – bagai kaum di Malaysia. Ia juga biasanya ditarikan secara berpasangan lelaki dan wanita. Pada masa kini , terdapat pelbagai jenis lagu – lagu yang dihasilkan seperti Joget Serampang Laut , Joget 106, Joget Johor Sport Club dan lain – lain. Joget juga popular ditarikan secara beramai –ramai dalam pesta keramaian dan dikenali sebagai joget lambak.

Sumber: Pe-Zapin Johor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

AKTIVITI PERSATUAN PENGGIAT ZAPIN NEGERI JOHOR KEMBALI RANCAK

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah, bermula tahun ini aktiviti Persatuan Penggiat Zapin Negeri Johor atau Pe-Zapin telah kem...