Isnin, 25 September 2017

INFO TERKINI PE-ZAPIN 2017

Hebahan aktiviti Pe-Zapin Johor telah dimuatkan dalam Facebook Laman Rasmi Persatuan Penggiat Zapin Negeri Johor(sila klik) dan website serta beberapa media sosial digunakan. Namun begitu, blog saya ini akan menjadi medan penulisan bagi tujuan memberi pengajaran, ilham, idea dan pelbagai lagi dalam usaha untuk memartabatkan tentang zapin-zapin yang terdapat di negeri Johor. 
Dalam usaha untuk mencapai maksud akan apa yang Pe-Zapin usahakan sudah pasti banyak cabaran dan onak duri yang perlu dilalui. Begitu sukar pada awalnya dan kini telah menjadi ikon kepada anak-anak muda untuk mempelajari seni tari zapin Johor agar tidak dilupai generasi masa hadapan. Usaha menjaga dan mengekalkan keaslian zapin Johor ini mesti dikekalkan disamping usaha menarik minat golongan muda agar ia lebih seronok dipelajari. kami juga mengakui pembaharuan dalam gerak pola tari itu penting agar ia dapat meningkatkan kerancakan tari zapin Johor itu sendiri. Banyak kupasan ini akan dibincangkan dalam masa terdekat. Untuk pengetahuan semua, perancangan berkaitan aktiviti anjuran Persatuan Penggiat Zapin Negeri Johor telah berjalan lancar selaras proses pembaharuan dalam strategik memperkasa PEZAPIN 2015 – 2017. Kini tranformasi perkembangan Pe-Zapin Johor berkembang dalam kerangka Program Transformasi Pe-Zapin Johor 2017-2020 dengan adanya Ahli Jawatankuasa yang baru dilantik beberapa bulan lepas Kami ucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong Pe-Zapin selama ini. 

(Naib yang Dipertua Persatuan Penggiat Zapin Negeri Johor)

Rabu, 20 September 2017

SEJARAH ZAPIN DI BUMI JAUHAR

Image result for zapin doodle
Zapin sudah sinonim dengan kehidupan rakyat Negeri Johor. Tidak dinafikan lagi Negeri Johor merupakan sebuah negeri yang begitu dikenali dengan tarian zapin yang unik dan penuh dengan nilai-nilai ketimuran. Dari utara hingga ke selatan tarian zapin pasti ada peminatnya malah sudah menjadi salah satu daripada tarian tradisional melayu yang seharusnya diberi pendedahan kepada generasi muda.
Zapin dipercayai di bawa oleh mubaligh-mubaligh dari Timur Tengah kira-kira pada abad ke-15. Kebanyakan mubaligh-mubaligh dan pedagang-pedagang ini datang dari Tanah Arab dan Parsi. Tradisi zapin telah berkembang dari pengaruh penyebaran agama Islam di Nusantara bersama budaya timur tengah yang di bawa oleh mubaligh-mubaligh dan pedagang Arab dari Hadramaut.
Kesenian zapin telah berkembang secara sendirinya di Alam Melayu mengikut kehalusan dan keindahan seni tari Melayu dan telah terpisah dari bentuk awalnya. Pengaruh kesenian seni tari Melayu membawa perubahan terhadap zapin dari segi langkah dan juga nyanyiannya. Walaubagaimanapun penduduk di Alam Melayu menyambut baik kesenian tersebut kerana ada kesinambungan di antara kesenian Arab dan Islam malah sehinggakan Zapin dianggap di antara kesenian yang unggul dalam khazanah warisan kesenian Melayu.
Zapin juga diterima sebagai hiburan oleh golongan-golongan bangsawan istana pada satu ketika dulu. Kedudukan zapin di aras yang tinggi, murni serta mulia membawa pengertian bahawa zapin mempunyai unsure-unsur nilai seni yang tinggi walaupun seni tersebut adalah wadah rakyat dan juga orang kebanyakkan.
Menurut fakta sejarah, Zapin mula bertapak dan berkembang mekar di Negeri Johor adalah di hulu sungai Muar di daerah Pagoh dan Lenga. Di mana tempat tersebut merupakan lapangan buruan Sultan Melaka semasa pemerintahan kerajaan Melaka Pra-Portugis. Selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511, Sultan Mahmud Shah telah membwa bakal pewaris istana Melaka ke daerah perburuanya sebelum melarikan diri ke Riau-Lingga dan Kampar dan di sana anakanda sultan telah membuka negeri di Ujung Tanah di Kota Johor Lama. Pada ketika itu jugalah segala warisan Melayu dan adat istiadat Melayu-Islam disebarkan.
Kemasyhuran orang Arab dan keturunan mereka bermain zafin, memetik gambus, bermain tabor serta marwas dan berqasidah adalah suatu hal yang sudah diketahui umum. Oleh yang demikian, keinginan dan sifat ingin menyaingi telah menyebabkan orang-orang melayu berusaha mempelajari permainan-permainan tersebut. Menurut fakta dipercayai orang-orang Malayu telah mampu bermain kesenian tersebut di luar lingkunan perkampungan Arab di Johor sejak zaman kejatuhan Melaka pada zaman kebangkitan kerajaan Johor-Riau pada abad ke-16 masehi. Namun begitu kerancakan orang Melayu melahirkan karya-karya tersendiri daripada pengaruh tersebut berlaku pada zaman kegemilangan Kerajaan Johor-Riau-Lingga yang menjangkau waktu dari abad ke-16 sehingga abad ke 19.
Pada zaman itu orang Melayu telah menghasilkan zapin Melayu dengan menggunakan alat-alat muzik seperti Gambus, Tabur dan Marwas serta digabungkan dengan alat muzik yang lain seperti Biola dan Peti Harmonium. Nyanyian qasidah bersama-sama pantun didendangkan dalam bentuk lagu bagi mengiringi langkah-langkah zapin yang dicipta berdasarkan gerak asal Zafin Arab. Dengan wujudnya seni zapin Melayu, orang-orang Melayu terus berkarya dan meletakkan seni zapin menjadi lebih berkembang apabila orang-orang Melayu memperkayakan gerak tari tersebut serta komposisi muzik yang pelbagai dan diterapkan pula dengan nilai-nilai murni yang terkandung di dalam lirik-lirik lagu seterusnya menjadikan Zapin Melayu sebagai satu tradisi kesenian yang sangat unggul dan ternama.
Setiap ragam ataupun pecahan lantai yang dicipta berdasarkan kepada perpatah Melayu serta alam sekitar dalam bentuk kiasan dan tunjuk ajar. Di Negeri Johor sendiri, sangat kaya dengan kiasan yang dihubungkait dengan kejadian alam sekitarnya. Sebagai contoh ragam tari Zapin Melayu Johor yang mengkiaskan daripada pergerakan binatang, unggas dan pepohon yang menglingkari kehidupan orang Melayu. Ragam Titi Batang dikiaskan dari pergerakkan meniti di atas pepohon yang jatuh melintangi anak sungai, Ragam Ayam Patah pula melambangkan pergerakkan terhingut-hingut seekor ayam yang patah kakinya. Walaupun ragam-ragam tersebut diilhamkan dari pergerakan dan alam sekitar dan ada pula diilhamkan dari pergerakkan binatang atau tumbuhan tetapi ke semua pergerakkan ini dilaksanakan secara halus, tertib dan penuh sopan santun oleh penari-penari Zapin Melayu. Kemampuan menarikan ragam-ragam tersebut dengan halus tetapi tangkas adalah merupakan syarat utama mengukur kebolehan dan ketertiban seseorang penari Zapin Melayu Johor.
Di Negeri Johor kini telah mempunyai lebih daripada 10 jenis zapin yang wujud dari daerah-daerah seperti Mersing, Batu Pahat, Muar, Pontian, Kluang dan Johor Bahru. Antara nama-nama zapin tersebut adalah Zapin Tenglu, Zapin Pulau, Zapin Seri Bunian, Zapin Parit Mastar, Zapin Mapom, Zapin Putar Lam, Zapin Patlipat, Zapin Lenga, Zapin Padang Sari, Zapin Lapis Batu Putih, Zapin Dayung, Zapin Melayu Johor dan sebagainya.
Kesungguhan pencipta-pencipta langkah tari zapin amat disanjungi dan dihargai sehingga kini taraf kesenian zapin Johor tetap berada di tahap yang tinggi oleh penggiat-penggiat seni zapin. Tokoh-tokoh ini perlu dihargai akan jasa dan pengorbanan mereka menjadikan seni tari zapin ini kekal sehingga ke hari ini dan dikenali ramai.
Rujukan : Buku panduan zapin Tenglu Pak Akob 

Selasa, 19 September 2017

DASAR KEBUDAYAAN NASIONAL

Assalamualaikum,
Salam Hormat,
Salam Pe-Zapin Johor.

Syukur ke hadrat Allah, pada pertengahan bulan ini saya ingin ketengahkan kembali satu dasar yang penting di negara yang kita cintai ini. Jom baca.

DASAR KEBUDAYAAN KEBANGSAAN




Latar belakang

Kebudayaan merupakan keseluruhan cara hidup manusia. Ia berperanan penting dalam proses pembangunan negara di Malaysia di mana keperibadian Malaysia harus dipupuk dalam usaha-usaha yang dijalankan ke arah meningkatkan pembangunan sosioekonomi dan politik. Ini sudah tentunya memerlukan penggemblengan dan penglibatan semua lapisan masyarakat dalam satu proses yang berterusan.

Bagi sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia, proses pembentukan kebudayaan nasional memerlukan perancangan yang teliti dan rapi supaya dapat melahirkan cara hidup yang bersifat kemalaysiaan. Perancangan kebudayaan ini harus menentukan sifat-sifat yang baik, mulia dan utama bagi pembinaan bangsa dan ketahanan negara.

Rasional

Penggubalan Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah penting bagi sesebuah negara membangun dan yang mempunyai penduduk berbilang kaum seperti Malaysia. Dasar ini nanti akan dapat menjadi Garis panduan dalam membentuk, mewujud dan mengekalkan identiti negara di kalangan dunia antarabangsa.

Penggubalan dasar ini perlu dibuat dengan mempertimbangkan fakta-fakta perkembangan sejarah serantau dan kedudukan negara ini sebagai pusat pertemuan serta pusat tamadun dan perdagangan sejak dua ribu tahun yang lampau. Peranannya sebagai sebuah pusat pertemuan, telah melahirkan proses interaksi, pengenalan, penyerapan dan penerimaan pelbagai unsur-unsur yang sesuai kepada kebudayaan asas rantau ini dari pelbagai unsur-unsur kebudayaan dunia.

Dengan yang demikian, sebagai satu proses yang berterusan, pewujudan Kebudayaan Kebangsaan Malaysia akan terus berlandaskan unsur-unsur dan tiga prinsip yang ditetapkan oleh Kerajaan sebagai Dasar Kebudayaan Kebangsaan iaitu:

i) Berteraskan kepada Kebudayaan Rakyat Asal Rantau ini
Rantau ini yang merangkumi kawasan Malaysia, Indonesia,Filipina, Singapura, Brunei, Thailand dan Kampuchea serta Kepulauan Selatan Pasifik (Polynesia, Melanesia dan Oceania) sehingga Malagasi adalah merupakan bahagian utama dari kawasan tamadun atau budaya Melayu. Rantau ini merupakan pusat pemancaran, pengembangan dan warisan Kebudayaan Melayu sejak zaman berzaman dan ditandai pula oleh kegemilangan dan keagungan tamadun Melayu yang berpusat di Melaka yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa (linguafranca). Kebudayaan serantau ini digambarkan oleh persamaan-persamaan di bidang bahasa yang berasaskan keluarga bahasa Melayu - Austronesia, kedudukan geografi, pengalaman sejarah, kekayaan alam, kesenian dan nilai-nilai keperibadiannya. Budaya Melayu pada hari ini merupakan cara hidup, lambang identiti dan asas ukuran keperibadian kepada lebih 200 juta umat manusia yang menuturkan satu rumpun bahasa yang sama. Dengan yang demikian, kebudayaan rakyat asal rantau ini dalam pengertian sempit atau luasnya kebudayaan Melayu telah dijadikan teras kepada Kebudayaan Kebangsaan.

(ii) Unsur-unsur Kebudayaan Lain Yang Sesuai dan Wajar Diterima
Kebudayaan sebagai sesuatu yang dinamik, sentiasa berubah-ubah melalui proses penyerapan dan penyesuaian secara berterusan. Prinsip ini bertepatan dengan situasi penduduk berbilang kaum yang mewarisi pelbagai budaya. Dengan itu unsur-unsur budaya Cina, India Arab, Barat dan lain-lain yang sesuai dan wajar diberi penimbangan dan penerimaan dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan. Kesesuaian penerimaan dalam penyerapan ini adalah bergantung kepada tidak wujudnya percanggahan dengan Perlembagaan dan prinsip-prinsip Rukun Negara dan kepentlngan nasional serta asas-asas moral dan kerohanian sejagat pada amnya dan pada Islam sebagai agama rasmi negara khasnya.

(iii) Islam Menjadi Unsur Yang Penting Dalam Pembentukan Kebudayaan Kebangsaan
Agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting dalam proses pembangunan negara serta pembentukan rakyat yang berakhlak dan berperibadi mulia. Agama Islam memberi panduan kepada manusia dalam mengimbang dan memadukan usaha bagi mengisi kehendak-kehendak emosi dan fizikal dan kerana itu patut menjadi unsur yang penting dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan memandangkan kedudukannya sebagai agama rasmi negara, di samping telah wujudnya fakta sejarah dan nilai-nilai Islam yang telah sedia didukung oleh sebahagian besar rakyat rantau ini.

Ketiga-tiga prinsip asas di atas adalah melambangkan penerimaan gagasan Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971.

Objektif

Pembangunan Kebudayaan Kebangsaan bagi negara-negara yang baru merdeka amatlah penting untuk mewujudkan sebuah negara yang stabil dan bersatu padu. Dengan yang demikian usaha-usaha pembentukan Kebudayaan Kebangsaan Malaysia adalah bertujuan untuk mencapai tiga objektif penting iaitu:
(i) Mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara melalui Kebudayaan;
(ii) Memupuk dan memelihara keperibadian kebangsaan yang tumbuh daripada Kebudayaan Kebangsaan; dan
(iii) Memperkayakan dan mempertingkatkan kualiti kehidupan kemanusiaan dan kerohanian yangseimbang dengan pembangunan sosioekonomi.
Strategi dan Pelaksanaan Objektif dasar ini boleh dicapai melalui strategi-strategi berikut:
(i) Pemulihan, pemeliharaan dan pembangunan kebudayaan ke arah menguatkan asas-asas Kebudayaan Kebangsaan melalui usaha sama penyelidikan, pembangunan, pendidikan, pengembangan dan perhubungan budaya;
(ii) Meningkat dan mengukuhkan kepimpinan budaya melalui usaha-usaha membimbing dan melatih peminat, mendukung dan mengerak kebudayaan seluas-luasnya sebagai jentera pembangunan yang berkesan;
(iii) Mewujudkan komunikasi yang berkesan ke arah kesedaran kebangsaan, kenegaraan dan nasionalisme Malaysia;
(iv) Memenuhi keperluan sosiobudaya; dan
(v) Meninggikan taraf dan mutu kesenian.

Di samping Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, penglibatan pihak lain juga adalah penting dalam pelaksanaan dasar ini. Mereka termasuklah Kementerian-kementerian dan Jabatan-jabatan Kerajaan Pusat, Kerajaan-kerajaan Negeri, badan-badan berkanun dan pihak swasta serta pertubuhan-pertubuhan kebudayaan.

Peranan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dalam pelaksanaan matlamat dan strategi dasar ini adalah penting. Antara lain Kementerian ini menguruskan penyelidikan, pembangunan dan penggalakan, pendidikan dan pengembangan kesenian dan perhubungan ke arah kemajuan kebudayaan kebangsaan. Usaha-usaha itu dicapai melalui aktiviti-aktiviti pembangunan, persembahan seni oleh Kompleks Budaya Negara sebagai pengelola dan urus setia perhubungan kebudayaan antarabangsa, Majlis Kebudayaan Negeri, khidmat nasihat bagi mengukuhkan pertubuhan-pertubuhan kebudayaan dan kerjasama dengan badan-badan antarabangsa.

Peranan Kementerian/Jabatan, Kerajaan-kerajaan Negeri dan badan-badan berkanun yang lain adalah sama penting dalam melaksanakan strategi dasar ini di dalam pengurusan harian dan pelaksanaan dasar-dasar semasa. Peranan pihak swasta dan pertubuhan-pertubuhan kebudayaan kian diperlukan di mana badan-badan ini boleh memainkan peranan menjalankan usaha pembinaan dan kemajuan kebudayaan di peringkat organisasi masing-masing dan seterusnya membiayai penajaan program atau projek-projek kebudayaan.

Penutup

Penggubalan dan pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah perlu bagi negara Malaysia yang sedang membangun dan yang mempunyai penduduk berbilang kaum yang mengamalkan budaya yang berbeza. Dasar ini dapat menjadi garis panduan dalam membentuk serta mewujudkan satu bangsa yang bersatu-padu serta mengekalkan identiti negara di kalangan dunia antarabangsa. Namun demikian pelaksanaannya adalah rumit dan tidak dapat dicapai dalam masa yang singkat. Kesedaran dan kefahaman yang luas akan dapat membantu tercapainya hasrat dan cita-cita pelaksanaan dasar ini kerana dengan keinsafan itu sahaja Kebudayaan Kebangsaan akan dapat dibezakan dengan kebudayaan kesukuan atau kebudayaan kaum. Kebudayaan yang dipupuk itu akan mencirikan sifat-sifat persamaan yang melampaui batas-batas suku kaum dan memperlihatkan keperibadian kebangsaan Malaysia itu sendiri sebagai sebuah negara yang merdeka dan bermaruah.

AKTIVITI PERSATUAN PENGGIAT ZAPIN NEGERI JOHOR KEMBALI RANCAK

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah, bermula tahun ini aktiviti Persatuan Penggiat Zapin Negeri Johor atau Pe-Zapin telah kem...