Rabu, 20 September 2017

SEJARAH ZAPIN DI BUMI JAUHAR

Image result for zapin doodle
Zapin sudah sinonim dengan kehidupan rakyat Negeri Johor. Tidak dinafikan lagi Negeri Johor merupakan sebuah negeri yang begitu dikenali dengan tarian zapin yang unik dan penuh dengan nilai-nilai ketimuran. Dari utara hingga ke selatan tarian zapin pasti ada peminatnya malah sudah menjadi salah satu daripada tarian tradisional melayu yang seharusnya diberi pendedahan kepada generasi muda.
Zapin dipercayai di bawa oleh mubaligh-mubaligh dari Timur Tengah kira-kira pada abad ke-15. Kebanyakan mubaligh-mubaligh dan pedagang-pedagang ini datang dari Tanah Arab dan Parsi. Tradisi zapin telah berkembang dari pengaruh penyebaran agama Islam di Nusantara bersama budaya timur tengah yang di bawa oleh mubaligh-mubaligh dan pedagang Arab dari Hadramaut.
Kesenian zapin telah berkembang secara sendirinya di Alam Melayu mengikut kehalusan dan keindahan seni tari Melayu dan telah terpisah dari bentuk awalnya. Pengaruh kesenian seni tari Melayu membawa perubahan terhadap zapin dari segi langkah dan juga nyanyiannya. Walaubagaimanapun penduduk di Alam Melayu menyambut baik kesenian tersebut kerana ada kesinambungan di antara kesenian Arab dan Islam malah sehinggakan Zapin dianggap di antara kesenian yang unggul dalam khazanah warisan kesenian Melayu.
Zapin juga diterima sebagai hiburan oleh golongan-golongan bangsawan istana pada satu ketika dulu. Kedudukan zapin di aras yang tinggi, murni serta mulia membawa pengertian bahawa zapin mempunyai unsure-unsur nilai seni yang tinggi walaupun seni tersebut adalah wadah rakyat dan juga orang kebanyakkan.
Menurut fakta sejarah, Zapin mula bertapak dan berkembang mekar di Negeri Johor adalah di hulu sungai Muar di daerah Pagoh dan Lenga. Di mana tempat tersebut merupakan lapangan buruan Sultan Melaka semasa pemerintahan kerajaan Melaka Pra-Portugis. Selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511, Sultan Mahmud Shah telah membwa bakal pewaris istana Melaka ke daerah perburuanya sebelum melarikan diri ke Riau-Lingga dan Kampar dan di sana anakanda sultan telah membuka negeri di Ujung Tanah di Kota Johor Lama. Pada ketika itu jugalah segala warisan Melayu dan adat istiadat Melayu-Islam disebarkan.
Kemasyhuran orang Arab dan keturunan mereka bermain zafin, memetik gambus, bermain tabor serta marwas dan berqasidah adalah suatu hal yang sudah diketahui umum. Oleh yang demikian, keinginan dan sifat ingin menyaingi telah menyebabkan orang-orang melayu berusaha mempelajari permainan-permainan tersebut. Menurut fakta dipercayai orang-orang Malayu telah mampu bermain kesenian tersebut di luar lingkunan perkampungan Arab di Johor sejak zaman kejatuhan Melaka pada zaman kebangkitan kerajaan Johor-Riau pada abad ke-16 masehi. Namun begitu kerancakan orang Melayu melahirkan karya-karya tersendiri daripada pengaruh tersebut berlaku pada zaman kegemilangan Kerajaan Johor-Riau-Lingga yang menjangkau waktu dari abad ke-16 sehingga abad ke 19.
Pada zaman itu orang Melayu telah menghasilkan zapin Melayu dengan menggunakan alat-alat muzik seperti Gambus, Tabur dan Marwas serta digabungkan dengan alat muzik yang lain seperti Biola dan Peti Harmonium. Nyanyian qasidah bersama-sama pantun didendangkan dalam bentuk lagu bagi mengiringi langkah-langkah zapin yang dicipta berdasarkan gerak asal Zafin Arab. Dengan wujudnya seni zapin Melayu, orang-orang Melayu terus berkarya dan meletakkan seni zapin menjadi lebih berkembang apabila orang-orang Melayu memperkayakan gerak tari tersebut serta komposisi muzik yang pelbagai dan diterapkan pula dengan nilai-nilai murni yang terkandung di dalam lirik-lirik lagu seterusnya menjadikan Zapin Melayu sebagai satu tradisi kesenian yang sangat unggul dan ternama.
Setiap ragam ataupun pecahan lantai yang dicipta berdasarkan kepada perpatah Melayu serta alam sekitar dalam bentuk kiasan dan tunjuk ajar. Di Negeri Johor sendiri, sangat kaya dengan kiasan yang dihubungkait dengan kejadian alam sekitarnya. Sebagai contoh ragam tari Zapin Melayu Johor yang mengkiaskan daripada pergerakan binatang, unggas dan pepohon yang menglingkari kehidupan orang Melayu. Ragam Titi Batang dikiaskan dari pergerakkan meniti di atas pepohon yang jatuh melintangi anak sungai, Ragam Ayam Patah pula melambangkan pergerakkan terhingut-hingut seekor ayam yang patah kakinya. Walaupun ragam-ragam tersebut diilhamkan dari pergerakan dan alam sekitar dan ada pula diilhamkan dari pergerakkan binatang atau tumbuhan tetapi ke semua pergerakkan ini dilaksanakan secara halus, tertib dan penuh sopan santun oleh penari-penari Zapin Melayu. Kemampuan menarikan ragam-ragam tersebut dengan halus tetapi tangkas adalah merupakan syarat utama mengukur kebolehan dan ketertiban seseorang penari Zapin Melayu Johor.
Di Negeri Johor kini telah mempunyai lebih daripada 10 jenis zapin yang wujud dari daerah-daerah seperti Mersing, Batu Pahat, Muar, Pontian, Kluang dan Johor Bahru. Antara nama-nama zapin tersebut adalah Zapin Tenglu, Zapin Pulau, Zapin Seri Bunian, Zapin Parit Mastar, Zapin Mapom, Zapin Putar Lam, Zapin Patlipat, Zapin Lenga, Zapin Padang Sari, Zapin Lapis Batu Putih, Zapin Dayung, Zapin Melayu Johor dan sebagainya.
Kesungguhan pencipta-pencipta langkah tari zapin amat disanjungi dan dihargai sehingga kini taraf kesenian zapin Johor tetap berada di tahap yang tinggi oleh penggiat-penggiat seni zapin. Tokoh-tokoh ini perlu dihargai akan jasa dan pengorbanan mereka menjadikan seni tari zapin ini kekal sehingga ke hari ini dan dikenali ramai.
Rujukan : Buku panduan zapin Tenglu Pak Akob 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

AKTIVITI PERSATUAN PENGGIAT ZAPIN NEGERI JOHOR KEMBALI RANCAK

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah, bermula tahun ini aktiviti Persatuan Penggiat Zapin Negeri Johor atau Pe-Zapin telah kem...